Thursday, July 15, 2010

Kursus ESQ (ESQ Training) Dibenarkan

PUTRAJAYA – Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Pengerusi jawatankuasa itu, Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dibuat setelah muzakarah yang bersidang 16 Jun lalu berpuas hati dan berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus itu boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin


Menurutnya, muzakarah turut memutuskan ESQ perlu membuat perubahan dan memperbetulkan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti dan perlakuan yang boleh menimbulkan keraguan atau yang boleh ditafsirkan sebagai bertentangan dengan syariat Islam.

“Sepertimana yang termaktub dalam undang-undang, kuasa untuk mengeluarkan fatwa adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri. Muzakarah menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri termasuklah fatwa mengenai ESQ yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan mengenai status ESQ di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, semalam.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul kursus motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd itu kerana mendapati ajarannya menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Abdul Shukor berkata, Panel Syariah ESQ yang dilantik oleh ESQ dan direstui Jakim, adalah tokoh-tokoh agama dan ahli akademik yang sememangnya telah lama terlibat dalam bidang keilmuan Islam.

Beliau berkata, muzakarah bersetuju membuat ketetapan bahawa Panel Syariah ESQ perlu bertanggungjawab dan memantau sepenuhnya pembetulan atau pindaan yang dibuat dan pelaksanaan tindakan itu perlu dilaporkan secara berterusan kepada muzakarah.

Katanya, mereka terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, bekas Mufti Kedah, Datuk Sheikh Hasbullah Abdul Halim, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib dan Dekan Fakulti al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Adnan Yusof.

“Muzakarah menghormati keilmuan tokoh-tokoh ini dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada mereka untuk menilai kandungan program ESQ,” katanya.

Menurutnya, keputusan muzakarah itu dibuat berasaskan pertimbangan ahli muzakarah yang bersetuju mengambil pendekatan berbincang, mendidik dan memperbetulkan apa jua keraguan yang ditimbulkan daripada terus menghukum.

“Sikap keterbukaan dan kesediaan pihak eksekutif ESQ dan panel syariah ESQ untuk berbincang dan menerima teguran serta pembetulan terhadap apa jua difikirkan boleh mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, program ESQ dijalankan secara terbuka dan sesiapa sahaja boleh mengikutinya dan memberi komen.

Katanya, lapan mufti yang merupakan ahli muzakarah dan beberapa orang timbalan mufti menyertai program ESQ dan memaklumkan bahawa tiada unsur-unsur percanggahan terhadap prinsip-prinsip asas akidah dan syariah Islam.

Menurutnya, pertimbangan juga diambil kira daripada pandangan yang dikemukakan ulama dan Persatuan Islam Indonesia bahawa kandungan program ESQ tidak mengandungi unsur-unsur bercanggah dengan syariat Islam.

“Muzakarah juga mengambil kira pertimbangan bahawa program ESQ telah dilaksanakan di beberapa negara Islam lain seperti Brunei, Arab Saudi dan Singapura.

“Seperti yang kita ketahui, negara-negara ini yang berpegang kepada mazhab masing-masing mempunyai pendekatan yang kritikal terhadap pandangan luar berkenaan agama Islam, tetapi turut membenarkan ESQ dijalankan di negara mereka,” katanya.

Sumber : Sinar Harian, 15 Julai 2010

No comments:

Post a Comment